Total Pageviews

Sunday, 13 April 2014

JORAN

Sejarah Joran

    Mengikut sejarah penggunaan joran untuk menangkap ikan telah bermula sejak sebelum masihi lagi di Mesir dan teknik tersebut terus berkembang hingga ke China dan ke negara-negara lain. Pada masa itu apa yang dipanggil joran hanyalah sebatang kayu atau buluh yang di hujungnya diikat terus dengan benang atau tali dan mata kail.
    Joran terus berevolusi dan dari sebatang kayu atau buluh, beberapa komponen telah ditambah untuk penambahbaikan. Pemegang yang dibuat daripada kayu maple atau kayu lembut (cork) telah diperkenalkan. Begitu juga dengan cincin yang pada asalnya hanyalah gelungan dawai telah ditambah untuk melancarkan balingan umpan.
   Sehingga itu pelbagai jenis joran telah dihasilkan untuk tujuan komersil. Daripada joran jenis sebatang atau sehingga ke 6 sambungan. Pada awal tahun 1940an joran jenis fibreglass telah dihasilkan dan ianya menjadi titik perubahan besar didalam pembuatan joran. Penggunaan bahan lain yang lebih baik dan berprestasi tinggi telah digunakan pada lewat tahun 1960an. Bahan seperti Boron dan Graphite digunakan dengan meluas tetapi hanya joran jenis graphite sahaja kekal sehingga hari ini kerana faktor kos.
    Joran moden hari ini sebahagian besarnya masih mengekalkan penggunaan fiberglass dan graphite sebagai bahan utama. Pada masa yang sama joran jenis campuran graphite dan karbon sangat popular kerana ianya lebih ringan dan memberikan lebih kuasa dan balingan yang lebih tepat. Untuk pemegang joran penggunaan cork tetap menjadi pilihan untuk joran jenis aksi ringan dan pada masa yang sama bahan sintetik seperti EVA telah diperkenalkan. Pemegang kekili atau reel seat yang dihasilkan menggunakan plastik keras menjadi popular kerana ianya ringan dan tahan lasak. Namum begitu reel seat jenis aluminium terus kekal popular untuk joran aksi berat.
    Pada masa ini joran secara majoritinya dihasilkan di kilang dengan kuantiti yang banyak untuk pasaran seluruh dunia. Segala spesifikasi ditetapkan secara umum mengikut model dan jenis pancingan. Namun begitu joran jenis tempahan khas masih terus diminati bagi pemancing yang menitikberatkan spesifikasi joran dihasilkan mengikut kemahuan mereka. Ini membolehkan mereka mendapat kepuasan maksimum apabila menggunakannya.

Bersambung............